Pemandu kereta dipukul, diugut selepas perselisihan faham di lebuh raya

Pemandu kereta dipukul, diugut selepas perselisihan faham di lebuh raya

SEREMBAN: Akibat perselisihan faham berkaitan pemanduan, seorang lelaki dipukul dan diugut seorang lagi pengguna jalan raya di Kilometer 276 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan dekat Nilai, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 6.40 petang.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 11 pagi dan melibatkan dua lelaki tempatan berusia 30-an.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan pemanduan antara mangsa dan suspek.

“Suspek dipercayai memukul mangsa sehingga terjatuh selain mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan jenayah terhadap mangsa.

“Kejadian kemudiannya dileraikan oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari berkata, identiti suspek dan kenderaan yang terlibat telah dikenal pasti dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kejadian tersebut tular di media sosial selepas seorang penggunanya memuat naik rakaman video yang memaparkan seorang pemandu kereta mewah bergaduh bersama seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) di lorong kanan lebuh raya berkenaan. – UTUSAN 

 

Scroll to Top