mahani@bh.com.my
Kuala Lumpur: Bekas pemimpin kanan DAP, Ronnie Liu mengumumkan keputusannya untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Beliau menyertai parti yang dipimpin Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, selepas lebih tiga tahun tidak berparti.
Bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Selangor itu mengumumkan perkara itu pada sidang media yang disiarkan di Facebook beliau dengan turut dihadiri Sng, yang pernah memimpin PKR Sarawak.
Liu menganggotai DAP selama 41 tahun dan berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu selama beberapa penggal.
Beliau pernah menjadi ADUN Pandamaran dari 2008 hingga 2013, selain pernah berkhidmat sebagai EXCO Selangor, sebelum mewakili Sungai Pelek dari 2018 hingga 2022.
Liu meninggalkan DAP pada Jun 2023 susulan tidak puas hati terhadap langkah kepemimpinan meminda perlembagaan parti berhubung penamatan keahlian.
Pindaan berkenaan membolehkan wakil rakyat DAP hilang keahlian secara automatik sekiranya mereka tidak mematuhi pendirian parti berhubung isu teras, yang disifatkan Liu sebagai tidak demokratik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




