RCI TH: AMK gesa SPRM, PDRM jejak aliran wang, dakwa dalang sembunyikan maklumat

RCI TH: AMK gesa SPRM, PDRM jejak aliran wang, dakwa dalang sembunyikan maklumat

SHAH ALAM – Pasukan khas penguat kuasa yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menjalankan audit forensik secara mendalam bagi menjejak aliran wang serta mendakwa dalang yang bertanggungjawab menyembunyikan maklumat atau kecurangan amanah susulan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kejadian menimpa institusi itu juga merupakan satu lagi tragedi salah guna kuasa dan pecah amanah di Malaysia, seperti mana kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda.

Namun kata beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan, apa yang berlaku kepada TH jauh lebih menggores perasaan rakyat Malaysia memandangkan peranan institusi itu dalam menjaga dan mengurus kebajikan serta perjalanan ibadat jemaah haji umat Islam di negara ini.

“Sehubungan itu, sebarang bentuk salah guna kuasa, salah urus tadbir, mahupun ketirisan dana dalam institusi ini bukan sekadar penyelewengan kewangan biasa, tetapi merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah umat Islam.

“Menjelang sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos ini, AMK menegaskan ia perlu menjadi medan perbahasan yang menyeluruh, berani dan telus dalam membicarakan isu salah tadbir urus dalam Tabung Haji,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Sabtu bertitah supaya siasatan berhubung Laporan RCI mengenai TH dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah langkah itu penting bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lalu mendedahkan pelbagai dapatan penting berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Mengulas lanjut, Mohammed Taufiq berkata, AMK menjunjung titah Sultan Ibrahim agar siasatan berhubung dapatan itu dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa sebarang kompromi.

Ujarnya, titah baginda agar pihak penguat kuasa menjejak pesalah ‘sehingga ke lubang cacing’ mencerminkan keprihatinan mendalam baginda terhadap integriti institusi yang memegang amanah jutaan umat Islam sejak sekian lama.

“Pihak-pihak yang telah mengkhianati serta merosakkan institusi umat Islam ini tidak boleh lagi berselindung di sebalik kedudukan mahupun pengaruh politik, biar dari parti mana sekalipun.

“Pemulihan imej Tabung Haji mesti dipandu oleh akauntabiliti, tata kelola berasaskan syariat, dan kawalan risiko yang kukuh demi memelihara institusi suci ini untuk generasi akan datang,” katanya.

Scroll to Top