mdroji@bh.com.my
Kuching: Kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat akibat jerebu rentas sempadan di Sarawak meningkat kepada sembilan setakat 6 pagi tadi.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) stesen pemantauan kualiti udara yang mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah IPD Serian (176), diikuti Kuching (160), Samarahan (158), Sibu (156) dan Sri Aman (156).
Turut mencatat IPU tidak sihat, Sarikei (155), Mukah (154), Bintulu (145) dan Samalaju (120).
Empat stesen lagi mencatatkan bacaan sederhana iaitu Miri (95), ILP Miri (91), Limbang (81) dan Kapit (73).
Perkembangan itu menunjukkan kualiti udara di beberapa bahagian Sarawak semakin merosot berbanding beberapa hari sebelum ini.
Keadaan jerebu dilihat semakin ketara dan ia dikaitkan dengan jerebu rentas sempadan, susulan pergerakan asap dari kawasan yang mengalami aktiviti pembakaran terbuka dan titik panas di wilayah negara jiran.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan, khususnya aktiviti fizikal, ketika bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat.
Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran kepada pihak berkuasa bagi membantu mengelakkan keadaan jerebu daripada menjadi lebih buruk.
© New Straits Times Press (M) Bhd
