suliati@hmetro.com.my
KESIBUKAN kerja, jadual persekolahan yang padat serta penggunaan gajet yang semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan harian menyebabkan banyak keluarga kini semakin sukar mencari masa berkualiti bersama.
Walaupun tinggal serumah, ada kalanya ibu bapa dan anak-anak lebih banyak berinteraksi dengan skrin berbanding meluangkan masa untuk berbual atau melakukan aktiviti bersama.
Justeru, tidak hairan semakin ramai memilih aktiviti riadah seperti larian santai sebagai cara menghabiskan hujung minggu yang bukan sahaja untuk kekal aktif, malah mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.
Pakar Terapi Minda Kepimpinan Diri, Keluarga dan Organisasi Dr Azu Shahadan berkata, apa yang semakin hilang dalam keluarga hari ini bukan kasih sayang, sebaliknya masa, perhatian dan kehadiran.
Menurutnya, dalam kehidupan moden yang dipenuhi tuntutan kerja, jadual persekolahan serta penggunaan gajet, ramai ahli keluarga berada di bawah satu bumbung, tetapi semakin kurang benar-benar berhubung antara satu sama lain.
“Hari ini kita duduk di ruang tamu yang sama, tetapi mata lebih banyak memandang skrin daripada wajah insan yang kita sayang.
“Kita juga tahu jadual harian anak melalui aplikasi, tetapi kadang-kadang kita tidak tahu apa yang sedang mereka rasa dalam hati.
“Sebab itu saya melihat aktiviti seperti ini bukan sekadar acara sukan. Ia sebenarnya menjadi ruang untuk keluarga kembali berhubung sebagai manusia,” katanya.
Dr Azu berkata, apabila ibu bapa dan anak-anak melakukan aktiviti bersama, mereka saling menunggu, saling memberi semangat, bergelak ketawa dan berbual tanpa tekanan.
“Ketika itu hubungan tidak dibina melalui WiFi, tetapi melalui pandangan mata, sentuhan, kata-kata dan kehadiran.
“Bukan larian yang mengubah hubungan, tetapi keberadaan kita yang lebih bermakna.
“Jika kita jadikan aktiviti seperti ini sebagai budaya keluarga walaupun hanya beberapa jam, kita sebenarnya sedang memberi mesej yang sangat besar kepada anak-anak bahawa walau sesibuk mana pun kehidupan, keluarga tetap menjadi keutamaan,” katanya.
Kata Dr Azu lagi, aktiviti fizikal yang dilakukan bersama turut membantu membina ikatan emosi atau ’emotional bonding’ antara ibu bapa dan anak.
Menurutnya, dengan gelak tawa, saling memberi semangat ketika berlari, otak sebenarnya menghasilkan hormon seperti oksitosin, endorfin, dopamin dan serotonin yang membuatkan seseorang berasa lebih gembira, tenang dan rapat antara satu sama lain.
“Hubungan yang erat tidak semestinya terbina melalui perbualan yang panjang, tetapi melalui momen kecil yang dikongsi bersama.
“Gajet bukan musuh, tetapi jika digunakan tanpa kawalan, ia boleh mengurangkan masa interaksi sebenar dalam keluarga.
“Hubungan yang kukuh tidak dibina melalui mesej atau emoji, tetapi melalui kehadiran dan pengalaman yang dikongsi bersama,” katanya.
Dr Azu berkata, setiap fasa dalam sesuatu aktiviti juga mempunyai nilai tersendiri, bermula daripada membuat persiapan bersama, saling memberi semangat sepanjang aktiviti hinggalah meraikan kejayaan selepas tamat.
Katanya, ikatan keluarga bukan dibina melalui perkara yang besar, tetapi melalui momen kecil yang dilakukan secara konsisten.
“Di situ lahirnya rasa saling menghargai, saling menyokong dan kasih sayang yang lebih mendalam kerana pengalaman itu mewujudkan ’emotional attachment’ antara ahli keluarga.
“Apabila keluarga konsisten meluangkan masa melalui aktiviti santai, anak-anak akan membesar dengan rasa lebih selamat, lebih yakin dan lebih mudah berkomunikasi.
“Masa berkualiti yang kita luangkan hari ini bukan sekadar mencipta kenangan, tetapi sedang membentuk karakter dan emosi anak-anak untuk masa hadapan,” katanya.
Pandangan itu turut dikongsi Nurazreen Khirudin, 36, yang membawa anaknya menyertai larian santai buat kali pertama sebagai usaha memperkenalkan gaya hidup sihat sejak kecil.
Katanya, dia mahu anaknya membesar dengan minat terhadap aktiviti luar dan tidak terlalu bergantung kepada gajet.
“Ini kali pertama dia sertai larian. Saya nak kenalkan dia dengan aktiviti berjoging dan gaya hidup sihat.
“Kanak-kanak hari ini memang gemarkan gajet. Jadi, aktiviti seperti ini memang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. Saya juga dapati anak-anak cukup teruja,” katanya.
Sementara itu, Hud Zyad Mohd Haffizh, 11, berkata, pengalaman menyertai larian Suria KLCC x LEGO® ‘Play Run’ 2026 memberi pengalaman berbeza daripada kebiasaannya.
Katanya, walaupun pada mulanya dia hanya mengikuti ajakan ibunya, pengalaman itu membuatkannya seronok menyertai aktiviti berkenaan.
“Untuk larian ‘play run’ ini, paling seronok ialah yang disertai dengan halangan. Ia bukan susah sangat, namun menyeronokkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
