Kuala Lumpur: Juara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Academy League (MAL) Malaysia bakal memiliki laluan baharu ke Kejohanan Dunia M8 menerusi pengenalan MLBB Championship Tour Southeast Asia (MCT SEA) pada suku keempat tahun ini.
Menerusi format baharu itu, juara MAL Malaysia akan berdepan juara MLBB Development League (MDL) Indonesia dan MDL Filipina dalam Kumpulan D, yang dikenali sebagai Open League Qualifier Group, bagi merebut satu tempat ke peringkat Knockout Playoffs MCT SEA.
MCT SEA yang menampilkan 12 pasukan dari 11 negara Asia Tenggara merupakan sebahagian daripada peluasan ekosistem e-sukan global MLBB, selain menyediakan laluan kepada pasukan baharu di luar liga francais sedia ada untuk beraksi di pentas dunia.
Pengenalan MCT SEA turut menjadikan Asia Tenggara sebagai rantau ketiga di bawah strategi global lima rantau MLBB yang diperkenalkan tahun ini, meliputi Asia Tenggara, Amerika (AMER), Asia Timur (EA), Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA), serta Eropah Timur dan Asia Tengah (EECA).
Selain Malaysia, Indonesia dan Filipina, edisi sulung MCT SEA turut disertai wakil dari Myanmar, Kemboja, Singapura, Vietnam, Timor-Leste, Brunei, Laos dan Thailand menerusi liga masing-masing atau kelayakan tempatan.
Ketua E-sukan Asia Tenggara MOONTON Games, Dylan Chia berkata MCT SEA menyediakan platform kepada pasukan dari seluruh rantau itu untuk bersaing dalam satu kejohanan dan membuktikan kemampuan masing-masing bagi merebut tempat ke M8.
“Asia Tenggara menjadi asas kepada pembangunan MLBB Esports seperti yang kita lihat hari ini. Ketika siri M membawa MLBB Esports ke pentas global yang lebih luas, MCT SEA meneruskan asas itu dengan memberi peluang kepada pasukan dari seluruh rantau untuk bersaing dalam satu kejohanan, dengan prestasi menjadi penentu siapa yang layak ke M8.
“Bagi pemain dan pasukan yang sedang meningkat naik, ia merupakan peluang untuk membuktikan kemampuan, membina profil, menjangkau khalayak baharu dan mengambil langkah seterusnya ke pentas dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dua pasukan terbaik dalam Knockout Playoffs MCT SEA akan layak secara automatik ke Peringkat Utama M8 di Istanbul, Türkiye, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan mara ke M8 Wild Card di Bangkok, Thailand.
Tiga pasukan daripada pusingan Wild Card itu kemudiannya akan mengesahkan tempat ke Peringkat Utama M8.
Edisi sulung MCT SEA menawarkan jumlah hadiah wang tunai sebanyak USD50,000 (RM204,534).
© New Straits Times Press (M) Bhd
