Pasukan khas ditubuh laksana syor RCI, pinda Akta TH

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Satu Pasukan Kerja (Task Force) sudah ditubuhkan bagi meneliti dan melaksana segala syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) ke arah usaha bagi meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, pasukan itu turut meneliti berkaitan kesesuaian kerangka pengawasan dan pemantauan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atas pengurusan dana dan pelaburan di TH.

“Saya dimaklumkan Task Force ini bersetuju mengesyorkan supaya aspek pengurusan dana dan pelaburan TH dikawalselia oleh SC, sementara aspek pengurusan haji akan dikawal selia oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan TH kekal sebagai satu entiti yang utuh.

“Butiran lanjut syor itu akan diberikan kepada saya untuk pertimbangan lanjut bagi dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan seterusnya,” katanya ketika menyampaikan penerangan pada mesyuarat khas Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan RCI TH hari ini.

Beliau berkata, pasukan itu diketuai Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan dianggotai oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi.

Bagi menjamin perkara dilapor RCI tidak berulang, beliau berkata, peruntukan undang-undang jelas seperti piawaian perakaunan diguna pakai dan penalti salah lapor penyata kewangan akan dimasukkan ke dalam Akta Tabung Haji yang akan dikemaskini selaras cadangan RCI.

Dalam pada itu, beliau berkata, krisis TH tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya ia kesan terkumpul daripada kerakusan dan penyelewengan, kelemahan tadbir urus, campur tangan kepentingan tertentu, keputusan pelaburan berisiko serta kegagalan menggambarkan kedudukan kewanwagn yang telus.

“Dicadangkan untuk larangan bagi ahli politik aktif dilantik sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga TH. Alhamdulillah, TH sudah melaksanakan pelantikan kepimpinan, termasuk ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan, berdasarkan integriti, kebolehan, dan pengalaman berdasarkan kriteria “fit and proper” mengikut kerangka yang digunapakai oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Sebenarnya kita punya ramai teknokrat dan tokoh yang berwibawa, kompeten, beramanah dan berintegriti untuk menerajui TH. Buktinya, TH kini berada dalam keadaan yang sangat baik dari sudut pengurusan haji, pelaburan, kewangan dan keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, syor untuk mengumumkan kadar agihan keuntungan berdasarkan penyata kewangan tahunan diaudit sudahpun dilaksanakan oleh TH sejak 2022.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top