nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan tiga penambahbaikan bagi memudahkan urusan peniaga di ibu negara.
DBKL dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan, langkah itu susulan sesi libat urus diadakan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud serta wakil Persatuan Pekedai Kedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur.
“Satu sesi libat urus turut diadakan bersama Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) pada April lalu yang menyentuh isu berkaitan terutama pembukaan semula premis.
“Sesi itu diadakan bagi mendengar isu dan cabaran dihadapi pengusaha premis makanan serta mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam proses penyampaian perkhidmatan DBKL,” katanya.
Menurutnya, penambahbaikan yang akan dilaksanakan itu terpakai kepada semua peniaga yang memenuhi syarat ditetapkan tanpa mengira latar belakang atau jenis premis.
“Ia membabitkan permit meja dan kerusi di kaki lima dengan bayaran permit akan ditetapkan pada kadar RM30 sebulan bagi setiap set meja dan kerusi.
“Permohonan boleh dikemukakan melalui Pejabat Cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing dan akan dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian lokasi serta kelebaran kaki lima.
“Sebarang kelulusan tertakluk kepada syarat bahawa laluan pejalan kaki, pengguna kerusi roda serta akses bagi operasi kecemasan tidak terhalang,” katanya.
Katanya, bagi permit kerja kecil seperti pertukaran jubin atau siling yang tidak membabitkan perubahan struktur bangunan, pemohon hanya perlu mengisi borang dan membuat pemakluman kepada DBKL.
“Permit berkenaan boleh dikeluarkan secara terus melalui Pejabat Cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing.
“Penambahbaikan ini bertujuan mempercepatkan proses permohonan bagi kerja berisiko rendah tanpa menjejaskan keperluan pematuhan dan keselamatan,” katanya.
Katanya, bagi premis yang diarahkan tutup atas faktor kebersihan boleh dipertimbangkan untuk dibuka semula seawal 24 jam selepas tindakan pembersihan dilaksanakan dengan sempurna.
“Namun, pembukaan semula bukan secara automatik dan hanya dibenarkan selepas pemeriksaan serta pengesahan DBKL bahawa semua keperluan kebersihan dan keselamatan makanan dipenuhi.
“Ketiga-tiga penambahbaikan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan DBKL untuk memperkemas penyampaian perkhidmatan, mengurangkan proses tidak perlu serta mewujudkan persekitaran perniagaan lebih kondusif di Kuala Lumpur,” katanya.
Pada masa sama, katanya, DBKL akan terus memastikan setiap kelonggaran proses dilaksanakan tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kebersihan, aksesibiliti dan kepentingan awam.
“Penambahbaikan ini juga akan membantu menyeragamkan proses, syarat dan pelaksanaan penguatkuasaan di peringkat cawangan supaya peniaga menerima maklumat lebih jelas dan konsisten.
“Proses yang jelas dan seragam bukan sahaja memberi kepastian kepada peniaga, malah memudahkan pegawai menjalankan tugas serta mengurangkan ruang kepada perbezaan tafsiran dalam pelaksanaan.
“DBKL komited untuk terus menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan lebih cekap, telus dan berintegriti bagi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya mesra perniagaan tanpa mengabaikan kepentingan rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
