sukan@hmetro.com.my
Seremban: Negeri Sembilan sudah bersedia untuk memberikan cabaran sengit dalam acara tinju pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor yang akan membuka tirai secara rasminya, Sabtu ini.
Presiden Persatuan Tinju Amatur Negeri Sembilan (PTANS), Mohd Fitri Omar berkata, pasukan itu akan mempertaruhkan lapan atlet termasuk tiga wanita bagi menggalas cabaran pada temasya sukan berprestij berkenaan.
Katanya, PTANS menetapkan sasaran untuk mengutip sekurang-kurangnya satu pingat emas berbanding pencapaian pada SUKMA yang lalu hanya meraih satu pingat perak dan satu gangsa.
“Kali terakhir Negeri Sembilan meraih pingat emas bagi acara tinju di SUKMA adalah pada 2018 manakala pada temasya sama dua tahun lalu di Sarawak, pasukan kita hanya meraih satu perak dan satu gangsa.
“Agak lama juga kita terlepas pingat emas dalam temasya ini, jadi kali ini kita menyasarkan untuk memperbaiki pencapaian itu dengan sasaran sekurang-kurangnya satu emas.
“Harapan pingat emas kita sandarkan kepada Muhammad Airil Ashraf Mohd Yuzamry, bagi kategori 51 kilogram (kg) berlandaskan prestasi dia yang dilihat lebih baik dan berpengalaman di pentas antarabangsa,” kata Mohd Fitri, di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun yakin dan percaya, atlet lain juga mampu melakukan kejutan dengan meraih pingat selepas melakukan persiapan rapi termasuk menjalani latihan selama dua minggu di Filipina bulan lalu.
Menurutnya, ketika ini kesemua atlet berkenaan yang dibimbing bekas ketua jurulatih kebangsaan, Azmi Md Yunus berada pada tahap bersedia untuk menggalas cabaran pasukan dan dilihat mampu menterjemahkan kejayaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
