am@hmetro.com.my
Seremban: Seramai 51 saksi akan dipanggil pada prosiding inkues punca kematian seorang murid lelaki berusia 10 tahun yang ditemui tidak sedarkan diri di tandas sebuah sekolah di Senawang, di sini, 2 Oktober tahun lalu.
Perkara itu diberitahu Pegawai Pengendali Inkues, Norazihah Asmuni ketika disoal Koroner, Tasnim Abu Bakar mengenai jumlah saksi pada prosiding sebutan di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.
Norazihah menjelaskan, 51 saksi itu membabitkan guru, murid sekolah dan rakan mangsa bagi mengetahui punca kematian Iman Zhafran Abdullah yang berusia 10 tahun ketika kejadian.
Mahkamah kemudiannya menetapkan prosiding inkues kes berkenaan dijalankan selama tujuh hari pada 14 dan 21 September, 5, 6 dan 7 Oktober, seterusnya 21 dan 28 Oktober dengan setiap sesi bermula jam 2.30 petang.
Peguam yang mewakili keluarga mangsa, Muhammad Yazid Mohamad Salim, memohon kepada mahkamah supaya pihaknya dan ibu bapa mangsa membuat pemeriksaan saksi.
Muhammad Yazid turut memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan penzahiran dokumen iaitu satu salinan dokumen diberikan kepada pihak peguam dan keluarga mangsa.
“Pihak kami memahami sensitiviti bahawa dokumen tersebut hanya akan berada dalam kawalan peguam dan anak guam,” katanya.
Pada prosiding hari ini, bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 41, dan ibunya, Zuzita Murib Sagita, turut kelihatan hadir ke mahkamah.
Sebelum ini, media melaporkan punca kematian murid lelaki tahun empat yang ditemui tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Senawang, di sini, pada 2 Oktober 2025 disebabkan tekanan pada leher.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata hasil bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau mendapati tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.
Terdahulu, polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.19 tengah hari, 2 Oktober 2025 ketika murid terbabit sedang menerima rawatan awal di sebuah pusat perubatan swasta berhampiran.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di tandas lelaki sekolah berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
