KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menjawab bagaimana sebuah institusi sepenting Lembaga Tabung Haji (TH) masih berdepan kelemahan tadbir urus serius walaupun mempunyai pengalaman mentadbir negara lebih enam dekad.
Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) berkata, sewajarnya semakin lama seseorang memegang amanah pemerintahan, semakin tinggi tanggungjawab apabila berlaku kelemahan.
“Dengan pengalaman mentadbir negara selama lebih enam dekad, mengapa sebuah institusi yang begitu penting kepada umat Islam masih boleh berdepan kelemahan tadbir urus yang begitu serius?”
“Sebelum penglibatan politik menjadi begitu ketara, TH secara umumnya dilihat sebagai institusi profesional yang menumpukan simpanan pendeposit dan pengurusan ibadah haji. Bukannya gelanggang pertikaian kepartian,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Aminuddin berkata, persoalan itu perlu dijawab kerana laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bukan lagi bahan perdebatan politik sebaliknya membabitkan isu tadbir urus dan pertanggungjawaban.
Katanya, antara dapatan serius adalah kelemahan amalan perakaunan yang menyebabkan kedudukan kewangan TH pada 2017 dilaporkan lebih baik daripada keadaan sebenar.
Beliau turut menyentuh pelantikan ahli politik aktif UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Ahli Lembaga TH pada 2011 dan kemudiannya sebagai Pengerusi TH pada Julai 2013.
“RCI mengambil perhatian bahawa pelantikan ahli politik ke dalam lembaga dan jawatan pengerusi antara 2014 hingga 2018 menimbulkan kegelisahan masyarakat serta membuka ruang keputusan TH dijadikan bahan kritikan politik.
“Pelantikan Azeez boleh dilihat sebagai titik perubahan yang mengaburkan sempadan antara pengurusan profesional institusi dengan kepentingan kepartian,” katanya.
Namun, katanya, beliau tidak menyatakan semua ahli UMNO bertanggungjawab atau semua keputusan sebelum ini salah namun pengalaman lama memerintah tidak boleh dijadikan perisai daripada pertanggungjawaban.
Beliau berkata, TH bukan milik mana-mana parti dan wang pendeposit tidak boleh dijadikan modal politik.
“Ibadah haji juga tidak wajar dijadikan perisai untuk mengelakkan akauntabiliti sekiranya berlaku kelemahan tadbir urus,” katanya.-UTUSAN

