suzalina@bh.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengesahkan sudah menerima aduan rasmi daripada BERSATU termasuk isu kedudukan keanggotaan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN), hari ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad, berkata aduan itu turut menyentuh dakwaan bahawa BERSATU tidak dibabitkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 16 Julai lalu.
Atas dasar itu katanya, penelitian terhadap aduan yang dibangkitkan sedang dilaksanakan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, perlembagaan pertubuhan yang diluluskan serta rekod rasmi RoS.
“Bagi memastikan penelitian dibuat secara menyeluruh dan berlandaskan undang-undang, semua maklumat, dokumen serta penjelasan yang dikemukakan oleh pihak berkaitan akan diteliti.
“RoS menegaskan, setiap pertubuhan berdaftar wajib mematuhi Akta Pertubuhan 1966, peraturan-peraturan berkaitan serta perlembagaan pertubuhan masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Minggu lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata keahlian BERSATU dalam PN gugur secara automatik selepas presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan gabungan baharu.
Susulan itu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dilaporkan mendakwa, PAS mempergunakan PN sesuka hati demi kepentingan politik parti itu, termasuk melalui tindakan unilateral yang menafikan hak parti anggota serta didakwa melanggar Perlembagaan PN.
Tun Faisal turut meminta RoS mengambil tindakan segera bagi menangani kemelut yang berlaku dalam PN.
Semalam, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata, gabungan itu bersedia untuk memberi penjelasan sekiranya dipanggil RoS berhubung dakwaan pemimpin BERSATU.
Pada masa sama, Zulfikar berkata, penelitian terhadap perkara yang dibangkitkan akan dilaksanakan
berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya, dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, RoS akan terus bertindak secara profesional dan tanpa memihak kepada mana-mana pihak serta tidak mempunyai kepentingan terhadap mana-mana pertubuhan atau parti politik.
© New Straits Times Press (M) Bhd

