Kuantan: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 228 pendatang tanpa izin, termasuk tujuh kanak-kanak yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan menerusi Ops Sasar di Jerantut, Rompin dan Kuantan semalam.
Pengarah Imigresen Negeri Pahang Nursafariza Ihsan berkata individu yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal, Kemboja, Pakistan dan Vietnam.
“Kesemua yang ditahan berusia antara empat hingga 51 tahun, terdiri daripada 212 lelaki dan 16 perempuan,” katanya pada sidang media di JIM Pahang di sini semalam.
Beliau berkata siasatan masih di peringkat awal dengan pihaknya sedang menjalankan proses dokumentasi serta pengesahan identiti dan dokumen setiap warga asing yang ditahan.
“Antara kesalahan yang disyaki dilakukan ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa serta kesalahan lain di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan-peraturan imigresen berkaitan,” katanya.
Nursafariza berkata operasi yang disertai 52 pegawai imigresen itu memberi tumpuan kepada rumah kongsi dan penempatan pekerja di kawasan ladang, estet serta tapak pembinaan.
Beliau berkata semua yang ditahan dalam operasi yang dijalankan dari 12.05 tengah malam hingga 11 pagi itu akan ditempatkan di Depot Imigresen Kemayan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Sebahagian daripada mereka berjaya ditahan manakala terdapat juga yang melarikan diri ke kawasan ladang.
“Berlaku sedikit pergelutan dalam beberapa keadaan, namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

