Paris: Cristiano Ronaldo dan pasangannya, Georgina Rodriguez, berkahwin dalam satu majlis di pusat peranginan Cascais, Portugal, pada Selasa, menurut wakil bintang bola sepak berkenaan.
Ronaldo, 41, berkongsi foto tangan pasangan itu yang menyarungkan cincin perkahwinan menerusi akaun Instagram miliknya dengan kapsyen: “C ❤️ G”.
Lima anak pasangan itu turut menghadiri majlis yang disifatkan sebagai “peribadi dan intim”, menurut Brunswick Group yang mengendalikan urusan perhubungan awam pemain berkenaan kepada AFP.
Pasangan itu melangsungkan perkahwinan tepat setahun selepas Rodriguez, 32, mengumumkan pertunangan mereka menerusi Instagram.
Kedua-duanya bertemu pada 2016 ketika Rodriguez bekerja di sebuah kedai Gucci di Madrid, dengan Rodriguez menyifatkan pertemuan itu sebagai “cinta pandang pertama”.
Dalam temu bual bersama Vogue Arabia pada 2025, dia berkata dirinya hampir serta-merta merasakan “ketenangan dan tenaga yang sukar dijelaskan” ketika bersama Ronaldo, “seolah-olah kami sudah mengenali satu sama lain sejak dahulu lagi”.
Ronaldo yang mewakili Portugal pada Piala Dunia musim panas ini dan tersingkir pada pusingan 16 terakhir, kini beraksi bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr.
Bekas penyerang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu memenangi Ballon d’Or sebagai pemain terbaik dunia sebanyak lima kali.
Rodriguez pula meningkatkan popularitinya menerusi rancangan Netflix berjudul “I Am Georgina”.
Pasangan itu mempunyai lebih 750 juta pengikut secara keseluruhan menerusi akaun media sosial masing-masing.
Mereka turut memiliki portfolio pelaburan yang merangkumi jenama fesyen dan rangkaian hotel.
© New Straits Times Press (M) Bhd
