Faizal Azumu sifatkan Perikatan Nasional dalam kawalan Bersatu

Faizal Azumu sifatkan Perikatan Nasional dalam kawalan Bersatu

Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang dipimpin Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa mempunyai pengaruh besar terhadap kepemimpinan Perikatan Nasional (PN), termasuk dalam menentukan hala tuju serta keputusan gabungan berkenaan.

Faizal Azumu sifatkan Perikatan Nasional dalam kawalan Bersatu

Memetik laporan Utusan, dakwaan itu dibuat Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang melihat pendirian PN ketika ini sebagai tidak konsisten, terutama berhubung kedudukan Bersatu dalam gabungan tersebut.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan apabila kenyataan berhubung status keahlian Bersatu dalam PN dilihat berubah-ubah.

“Pimpinan PN sekarang ini suka cakap berdolak-dalik. Sekejap cakap ke­ahlian kita tergugur secara automatik. Sekejap kata kita masih anggota PN tetapi tidak boleh menghadiri mesyuarat.
“Macam persidangan Parlimen lah, ada perkara penting yang patut dibahaskan, mereka keluar pula dari Dewan,” katanya, baru-baru ini.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa keanggotaan Bersatu dalam PN terbatal secara automatik susulan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan hasrat untuk menyertai gabungan lain.

Namun, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pula menegaskan bahawa Bersatu masih kekal sebagai anggota PN sehingga kini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan Bersatu bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Ahmad Faizal berkata perkara tersebut masih dalam pertimbangan kepemimpinan parti.

Katanya, Bersatu akan terlebih dahulu mengadakan sesi libat urus bersama pimpinan di peringkat bahagian di Melaka bagi menentukan pendekatan dan strategi yang sesuai untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Dalam bab nak mempersiapkan jentera dalam menghadapi PRN, nak pakai logo Bersatu atau PN, kami tidak mahu fikir lagi sebab PN sendiri pun berdolak-dalik,” jelasnya.

Artikel lain: Bercanggah perlembagaan parti! Hadi Awang tiada kuasa veto, BERSATU masih anggota sah PN – Azmin Ali

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal turut menegaskan bahawa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang diadakan adalah sah kerana ia dilaksanakan mengikut ketetapan dalam perlembagaan parti.

“Jika cukup dua pertiga daripada keseluruhan yang hadir, mesyuarat itu dikira sah,” tambahnya lagi.

Sumber: Utusan (Aslinda Nasir)

Scroll to Top