lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peningkatan bilangan penganggur sebanyak 0.9 peratus bulan ke bulan walaupun kadar pengangguran kekal pada tiga peratus bukan petanda pasaran buruh menepu, sebaliknya lebih cenderung mencerminkan turun naik biasa dalam pasaran buruh.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, perubahan bulanan dalam bilangan penganggur lazimnya dipengaruhi faktor bermusim termasuk kemasukan graduan baharu, peralihan pekerjaan dan aktiviti pengambilan pekerja yang tidak sekata.
“Namun begitu, sekiranya trend peningkatan ini berterusan dalam beberapa bulan berturut-turut dan disertai pertumbuhan peluang pekerjaan yang perlahan, ia boleh menjadi isyarat awal bahawa momentum pasaran buruh semakin sederhana.
“Oleh itu, pemantauan terhadap data pekerjaan, kadar penyertaan tenaga buruh dan penciptaan pekerjaan baharu perlu dilakukan secara berterusan sebelum membuat kesimpulan yang lebih kukuh,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam, yang memaklumkan kadar pengangguran pada Jun 2026 kekal tiga peratus seperti bulan sebelumnya dan mencatatkan sebanyak 517,800 penganggur.
Menurut DOSM, bilangan penduduk bekerja pada Jun lalu meningkat 0.01 peratus kepada 16.83 juta orang berbanding Mei 2026 (16.82 juta orang), manakala bilangan penganggur meningkat daripada 513,400 orang kepada 517,800 orang, naik sebanyak 0.9 peratus bulan ke bulan.
Selain itu, DOSM dilaporkan berkata, kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun pada Jun lalu kekal pada 10.2 peratus dengan sebanyak 292,200 penganggur belia direkodkan manakala kadar pengangguran belia 15 hingga 30 tahun tidak berubah pada 6.3 peratus, mencatatkan 400,800 penganggur belia.
Mengulas lanjut, Mohamad Idham berkata, kadar pengangguran belia yang masih melebihi purata nasional pula menunjukkan golongan berkenaan berdepan cabaran dalam proses peralihan daripada alam pendidikan kepada alam pekerjaan.
“Antara faktor utama ialah kekurangan pengalaman kerja, ketidakpadanan kemahiran antara graduan institusi pengajian tinggi dengan keperluan industri, perubahan pesat akibat pendigitalan serta jangkaan majikan terhadap kemahiran teknikal dan insaniah yang lebih tinggi.
“Justeru, usaha memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dan industri melalui latihan industri berkualiti, program peningkatan kemahiran (upskilling dan reskilling), pensijilan profesional serta pendedahan kepada teknologi baharu amat penting.
“Langkah ini penting bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan selain membantu mengurangkan kadar pengangguran belia secara mampan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
