Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan tiga penambahbaikan baharu untuk memudahkan urusan peniaga di ibu negara, termasuk permit bulanan RM30 bagi setiap set meja dan kerusi yang ditempatkan di kaki lima.
Terbuka kepada semua peniaga yang penuhi syarat
Menerusi kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, beliau menyatakan kemudahan itu terbuka kepada semua peniaga yang memenuhi syarat tanpa mengira latar belakang atau jenis premis.
“Permohonan boleh dikemukakan di pejabat cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing dan akan dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian lokasi dan kelebaran kaki lima,” katanya.
Kelulusan tertakluk kepada syarat
Menurutnya, kelulusan tertakluk kepada syarat laluan pejalan kaki, akses pengguna kerusi roda serta laluan operasi kecemasan tidak dihalang.
Sebelum ini, pengusaha restoran dan kafe perlu membayar RM20 hingga RM50 bagi setiap meja sebulan serta deposit keselamatan sehingga RM10,000 bergantung kepada bilangan meja.
Hanya perniagaan berlesen dengan permit diluluskan dibenarkan meletakkan meja dan kerusi di kawasan ditetapkan, tertakluk kepada had dari segi saiz, penempatan serta waktu operasi.
Selain itu, permit untuk kerja kecil yang tidak membabitkan perubahan struktur bangunan seperti menggantikan jubin atau siling kini hanya memerlukan borang untuk memaklumkan DBKL.
“Penambahbaikan ini bertujuan mempercepatkan proses permohonan bagi kerja berisiko rendah tanpa menjejaskan keperluan pematuhan dan keselamatan.” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, premis yang diarahkan tutup atas faktor kebersihan boleh dipertimbangkan untuk dibuka semula seawal 24 jam selepas kerja pembersihan menyeluruh dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, pembukaan semula tertakluk kepada pemeriksaan dan pengesahan DBKL bahawa semua keperluan kebersihan serta keselamatan makanan telah dipenuhi.
Yeoh menambah tiga penambahbaikan berkenaan diperkenalkan selepas sesi libat urus pejabatnya bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Fadlun Mak Ujud dan wakil Persatuan Pekedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur.
“Tiga penambahbaikan ini sebahagian daripada usaha berterusan DBKL untuk memperkemas penyampaian perkhidmatan, mengurangkan proses tidak perlu dan mewujudkan persekitaran perniagaan lebih kondusif di Kuala Lumpur,” katanya.

Sumber: Facebook Hannah Yeoh


