nurul.hidayah@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Hospital Sungai Buloh sedang mengesan waris atau ahli keluarga seorang pesakit lelaki yang kini menerima rawatan di hospital terbabit.
Pihak Hospital Sungai Buloh dalam kenyataannya, hari ini, memaklumkan pihaknya merawat pesakit warga emas terbabit, K Ramachandran, 72.
“Berdasarkan maklumat diperolehi, pesakit itu mengalami masalah penglihatan serta keterbatasan pergerakan yang memerlukan pemantauan dan sokongan dalam menjalani aktiviti harian.
“Sepanjang tempoh pesakit menerima rawatan di hospital ini, tiada mana-mana waris atau ahli keluarga yang hadir melawat atau tampil menghubungi pihak hospital,” katanya.
Menurutnya, pihak Jabatan Kerja Sosial Perubatan hospital sudah melaksanakan pelbagai usaha mengesan waris termasuk melalui semakan salasilah keluarga dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun tiada waris yang berjaya ditemui setakat ini.
“Memandangkan waris pesakit itu masih belum dapat dikenal pasti, pihak hospital berharap supaya ahli keluarga, kenalan atau mana-mana individu mengenalinya dapat tampil dan menghubungi pihak hospital dengan segera.
“Ia bagi membantu usaha mengesan waris serta melancarkan urusan rawatan dan penjagaan lanjut pesakit berkenaan,” katanya.
Katanya, maklumat lanjut boleh disalurkan ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Hospital Sungai Buloh atau menghubungi talian 03-61454333 sambungan 4286.
© New Straits Times Press (M) Bhd
