nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim yang meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di Beaufort, Sabah pada Khamis lalu, menerima pampasan dan sumbangan keseluruhan berjumlah lebih RM200,000.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan mempercepatkan segala proses bayaran yang layak diterima Allahyarham.
“Hari ini saya berkunjung ditemani pegawai tinggi bagi menyampaikan sumbangan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Kelantan selain sumbangan bayaran takaful yang dicarum Allahyarham sebagai anggota polis.
“Saya juga memberi jaminan untuk mempercepat proses semua bentuk bayaran lain yang layak diterima keluarga Allahyarham bagi meringankan beban keluarga terutama anak lelaki yang baru berusia setahun lapan bulan.
“Aspek kebajikan keluarga mangsa terutama anaknya akan dipantau oleh pihak IPK,” katanya ketika mengunjungi keluarga berkenaan di Kampung Hutan Pasir.
Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Media sebelum ini melaporkan, tiga anggota polis maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika sedang mengambil buah kelapa di Jalan Weston, Kampung Weston, Khamis lalu.
Mohamad Nur Hafiz bersama dua rakan setugas di Balai Polis Weston, iaitu Koperal Chiu Teck Siong, 40, dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ia selepas galah besi yang digunakan untuk mengambil buah kelapa terkena kabel elektrik utama Sabah Electricity.
© New Straits Times Press (M) Bhd

