Konsert Nastia Project diteruskan tanpa dua anggota asal

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Vokalis kumpulan Nastia, Leo Azman mendedahkan konsert solo mereka hanya tampil berdua tanpa kehadiran dua lagi anggota band berkenaan.

Leo atau nama sebenarnya, Nur Azman Azhari berkata, keputusan itu berlaku susulan kejadian tidak diduga hingga pihaknya memilih untuk meneruskan konsert tanpa kehadiran anggota yang lengkap.

“Berlaku kejadian tak di duga. Kalau boleh saya dan pemain dram, Rudy Iskandar nak tampil berempat untuk projek ini tapi mereka tak setuju, jadi kami teruskan berdua sahaja.

“Mereka masih dalam band Nastia. Cuma untuk projek ini mereka tak sertai. Tapi doa-doakanlah, mana tahu kami kembali bersatu untuk projek ini nanti, insya-Allah,” kata Leo ketika ditemui pada sidang media Konsert Nastia Project yang diadakan di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, kata Leo, keputusan dua lagi anggota kumpulan itu iaitu Zac Zainal Abidin (keyboard) dan Jaeng (pemain bass) tidak menyertai konsert terbabit turut dipengaruhi oleh pihak ketiga.

Katanya, dia juga berasa kecewa kerana memang berharap mereka kembali tampil berempat di atas pentas untuk projek berkenaan.

“Ada pihak ketiga yang mempengaruhi mereka berdua ketika keadaan itu berlaku. Kami tak bergaduh, cuma jalan yang dipilih berbeza.

“Saya berasa kecewa kerana dari dulu, saya terbayang nak buat konsert kami berempat tapi takdir sudah begini. Jadi, kami ikut sahajalah,” katanya dengan nada yang sebak.

Bagaimanapun, kata Leo, hubungan mereka masih baik dan dua anggota yang tidak menyertai projek berkenaan masih lagi kekal sebagai anggota kumpulan itu.

Dalam perkembangan lain, Leo bersama Rudy bakal mengadakan persembahan menerusi Konsert Nastia Project bersama penyanyi Fynn Jamal dan Amir Jahari.

Konsert itu dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 16 Oktober depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top