Masalah brek, lori sampah langgar tembok pagar hempap 3 kereta

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiga kereta rosak dihempap sebuah lori sampah dipercayai mengalami masalah brek di sebuah kondominium di Jalan Pantai Murni 1, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian berlaku jam 4.10 pagi hari ini.

“Sejurus menerima maklumat mengenai kejadian, JSPT Kuala Lumpur menjalankan usaha mengesan pemandu lori berkenaan yang tidak berada di lokasi kemalangan.

“Hasil tindakan pantas, pemandu lelaki warga tempatan berusia 41 tahun itu berjaya dikesan ketika sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lori sedang menuruni bukit dan dipercayai mengalami kegagalan sistem brek lalu terbabas.

Katanya, lelaki berusia 41 tahun itu hilang kawalan lalu melanggar pagar kondominium berkenaan lalu menghempap tiga buah kereta di kawasan parkir.

“Pemandu berkenaan hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur lebih kurang 3.15 petang untuk membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Ujian pernafasan yang dijalankan terhadap pemandu mendapati keputusan negatif alkohol. Lori dihantar ke PUSPAKOM untuk menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top