am@hmetro.com.my
Besut: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam sungai ketika cuba melarikan diri semasa pemeriksaan polis berkaitan dadah di Kampung Gong Mak Som, kira-kira jam 5.45 petang hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila sepasukan polis dari Balai Polis Kampung Raja menjalankan pemeriksaan di kawasan berhampiran sungai berkenaan.
“Semasa pemeriksaan dijalankan seorang lelaki menyedari kehadiran polis bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai sebelum dipercayai tenggelam dan gagal dikesan.
“Pemeriksaan lanjut di sebuah bangsal kayu berhampiran lokasi kejadian turut menemukan sejumlah pil disyaki dadah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, setakat ini maklumat identiti dan butiran lelaki berkenaan masih belum dikenal pasti.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dijalankan dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan serta penyebaran maklumat tidak sahih.
© New Straits Times Press (M) Bhd
