Kota Bharu: Hukuman restoratif, kesalahan yang boleh dikompaun dan peningkatan kadar hukuman merupakan antara pembaharuan utama dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata bagi pembaharuan hukuman restoratif, RUU itu menambah baik pelaksanaan tempoh khidmat komuniti dengan menetapkan ia hendaklah disempurnakan sepenuhnya dalam tempoh satu tahun.
“Bagi kesalahan yang boleh dikompaun pula, RUU itu memasukkan peruntukan yang membolehkan Sultan Kelantan menetapkan jenis kesalahan yang boleh dikompaun, prosedur serta borang berkaitan melalui perintah yang disiarkan dalam warta.
“Manakala, peningkatan kadar hukuman pula mengutamakan hukuman sebatan bagi kesalahan berat seperti cubaan keluar Islam, mengabaikan akidah anak, kewajipan menjaga alat kemaluan dan anggota badan, meminum minuman yang memabukkan, berjudi, persetubuhan luar nikah dan hamil luar nikah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata terdapat enam fasal baharu dalam RUU itu, iaitu mengabaikan atau meninggalkan solat fardu di bawah Fasal 10; kewajipan menjaga alat kemaluan (Fasal 15); dan kewajipan menjaga anggota badan selain alat kemaluan (Fasal 16).
Selain itu, kewajipan menjaga akal daripada perkara yang merosakkan (Fasal 33); pengkompaunan kesalahan Syariah (Fasal 59); serta kuasa mengkompaun bagi pihak berkuasa yang berkenaan (Fasal 60).
Beliau berkata antara peruntukan yang dibatalkan dan digubal semula melalui RUU berkenaan ialah Seksyen 11, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) Negeri Kelantan 2019 berkaitan kesalahan memusnahkan atau mencemarkan tempat beribadat.
“Peruntukan itu ditambah baik di bawah Fasal 12 RUU Kesalahan Syariah 2026 mengenai kacau ganggu tempat ibadah orang Islam.
“Bagi Seksyen 14 EKJS 2019 iaitu liwat pula, peruntukan itu dibatalkan tetapi ditambah baik di bawah Fasal 15 dan Fasal 16 RUU berkenaan, iaitu kewajipan menjaga alat kemaluan dan menjaga anggota badan selain alat kemaluan,” katanya.
Terdahulu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini sebulat suara meluluskan RUU Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 yang memperkemas dan memperkukuh susunannya supaya lebih sistematik, jelas dan berwibawa.
RUU itu meliputi sembilan bahagian, 62 fasal dan satu jadual, dengan beberapa pembaharuan termasuk peruntukan berkaitan kewajipan solat fardu, penjagaan alat kemaluan dan anggota badan, penjagaan akal, hukuman restoratif, pengutamaan hukuman sebatan serta mekanisme kompaun.
© New Straits Times Press (M) Bhd
