harisfadli@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Rumah disimbah cat gara-gara hutang along ditinggalkan mendiang anak.
Itu situasi dihadapi seorang warga emas di Kampung Baru Sungai Buloh di sini, pada 7.50 pagi, 5 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga mendiang pada 6 Ogos.
“Hasil siasatan awal mendapati pintu gulung premis perniagaan milik mangsa disimbah cat berwarna kuning serta ditampal notis berkaitan dakwaan hutang pinjaman yang melibatkan anak pengadu yang sudah meninggal dunia.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Mangsa tidak mengetahui sama ada mendiang anaknya pernah membuat pinjaman daripada mana-mana pemberi pinjam wang tidak berlesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis sedang giat mengenal pasti dan mengesan suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Katanya, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan menerusi Pegawai Penyiasat, Sarjan Norsamsila Daud di talian 0178701889 atau menghubungi IPD Sungai Buloh di 0361561222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd
