firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas tiga kali mencuba, penyerang Selangor FC, Faisal Halim, akhirnya menamatkan penantian apabila dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik Liga M Awards 2025-2026.
Kemenangan itu cukup bermakna buat pemain kelahiran Pulau Pinang berkenaan yang sebelum ini pernah tercalon bagi anugerah sama pada edisi 2021, 2022 dan 2023, namun gagal membawa pulang pengiktirafan itu.
Kali ini, Faisal akhirnya berjaya merealisasikan impiannya untuk bergelar penyerang terbaik, sekali gus menjadi bukti kebangkitan luar biasa pemain itu selepas melalui detik hitam yang hampir menjejaskan kariernya.
Insiden serangan asid yang dialaminya pada 2024 sebelum ini memberi kesan besar terhadap kehidupan dan karier Faisal.
Namun, pemain berusia 28 tahun itu enggan membiarkan episod berkenaan menjadi noktah kepada perjalanan kariernya.
Sebaliknya, Faisal bangkit dengan semangat luar biasa untuk kembali beraksi dan membuktikan dirinya masih mampu bersaing di pentas tertinggi bola sepak tempatan.
Pengiktirafan pada Liga M Awards 2025-2026 itu menjadi simbol kepada perjuangan Faisal yang tidak pernah berputus asa untuk kembali ke tahap terbaik.
Dalam perebutan anugerah itu, Faisal berjaya mengatasi dua pencabar lain, iaitu Safawi Rasid dari Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Ramadhan Saifullah Usman daripada Kuching City FC.
Safawi turut hadir dengan prestasi cemerlang apabila meledak 13 gol dalam saingan Liga Super musim lalu, manakala Ramadhan Saifullah Usman turut menjadi antara penyerang yang mencuri perhatian sepanjang kempen 2025-2026.
Namun, prestasi konsisten Faisal akhirnya berjaya meyakinkan panel pemilihan untuk menobatkannya sebagai Penyerang Terbaik musim ini.
Kemenangan itu juga menyaksikan Faisal mengambil alih anugerah berkenaan daripada pemain tengah naturalisasi Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue yang memenanginya pada musim lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

