am@hmetro.com.my
Sik: Seramai 76 Pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara sudah pun dihantar pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam kenyataannya berkata, kesemua mereka terdiri daripada 67 lelaki, lapan wanita dan seorang kanak-kanak lelaki dari Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, China, Vietnam, Tunisia dan Mesir.
Kesemua PATI terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang sebelum proses pemindahan dilaksanakan dan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Belantik, di sini.
“Kos tiket penerbangan ditanggung oleh tahanan sendiri, ahli keluarga serta Kedutaan negara masing-masing.
“Sebagai langkah penguatkuasaan berterusan, kesemua PATI yang dipindahkan turut dikenakan tindakan senarai hitam dalam sistem JIM bagi menghalang sebarang cubaan memasuki semula Malaysia pada masa akan datang,” kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, program pemindahan PATI ini adalah sebahagian daripada tindakan penguat kuasaan berterusan JIM Kedah dalam usaha membanteras kehadiran dan aktiviti PATI di negara ini.
Menurutnya, JIM Kedah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan, pengesanan, penahanan, pendakwaan dan penghantaran pulang PATI bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan Malaysia terus terpelihara.
© New Straits Times Press (M) Bhd

