Helikopter AW189 perkukuh benteng maritim negara – Saifuddin Nasution

Subang: Kedaulatan perairan negara seluas 556,285 kilometer (km) persegi kini diperkasakan dengan penerimaan helikopter pertama Medium Lift AW189 daripada empat unit yang diperoleh bagi kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata helikopter itu akan meningkatkan keupayaan APMM dalam melaksanakan pengawasan udara, penguatkuasaan, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pemindahan perubatan (medevac) serta operasi khas.

Beliau berkata perolehan aset canggih itu amat penting dalam mendepani landskap keselamatan maritim yang semakin kompleks, termasuk ancaman jenayah rentas sempadan, pencerobohan sumber perikanan dan penyeludupan.

“Kawasan zon maritim kita sangat luas, jadi sangat penting untuk kerajaan menunjukkan komitmen sokongan yang kuat kepada agensi penguat kuasa seumpama APMM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Rosli Abdullah.

Perolehan empat unit helikopter berkenaan yang bernilai RM529 juta diluluskan menerusi Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan kontrak selama lima tahun bersama syarikat pengeluar, Leonardo.

Helikopter AW189 mampu beroperasi dengan jarak capaian sehingga 1,166 km serta kelajuan maksimum 313 km sejam dan dalam pelbagai keadaan cuaca serta membawa lima kru dan 14 penumpang untuk tindak balas pantas di perairan.

Saifuddin Nasution berkata syarikat berkenaan berjaya menyiapkan projek tersebut mengikut jadual dan baki tiga lagi unit helikopter AW189 dijangka tiba di tanah air menjelang akhir Disember ini.

“Selain pemerkasaan aset, fokus kini turut diberikan kepada pembangunan kapasiti anggota bagi memastikan mereka mahir mengoperasikan teknologi canggih pesawat baharu itu,” katanya.

Dengan penambahan aset tersebut, kekuatan udara APMM akan meningkat daripada enam helikopter ketika ini kepada sembilan unit menjelang akhir tahun, sekali gus memperkukuh rekod cemerlang agensi itu dalam menjaga perairan negara.

Sehingga 24 Julai lepas, APMM melaksanakan sebanyak 116,192 pemeriksaan dengan nilai rampasan melebihi RM4.38 bilion, manakala operasi SAR berjaya menyelamatkan 638 mangsa dalam 129 kes.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan menjangkakan penerimaan sebuah lagi aset strategik iaitu kapal induk pada suku pertama tahun depan bagi memperkasakan lagi operasi di laut dalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top