Beijing: Pesawat jet C919 buatan China melengkapkan penerbangan komersial antarabangsa pertamanya pada semalam, sekali gus menandakan langkah simbolik ke arah matlamat Beijing mencabar penguasaan Boeing dan Airbus dalam industri aeroangkasa selama beberapa dekad.
Pesawat berbadan sempit itu disebut sebagai pesaing berpotensi kepada Boeing 737 atau Airbus A320, namun masih belum mendapat kelulusan pengawal selia Amerika Syarikat (AS) atau Eropah.
Beijing berharap pesawat keluaran dalam negara itu dapat mengurangkan kebergantungan China terhadap teknologi asing dan membantu negara berkenaan bertapak dalam pasaran global.
Pesawat C919 yang dihasilkan Commercial Aircraft Corporation of China (COMAC) milik kerajaan dan dikendalikan Air China berlepas dari Beijing pada 3.17 petang waktu tempatan, 10 Ogos lalu.
Menurut data penerbangan awam, pesawat itu mendarat di ibu negara Mongolia, Ulaanbaatar, pada 4.58 petang waktu tempatan.
Penumpang, Hu Yuan, 40-an, yang mendaftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital berkata, dia berasa bangga dapat menaiki laluan antarabangsa menggunakan pesawat buatan dalam negara.
“Saya berharap pesawat domestik kita terus bertambah baik dari segi keselesaan dan pengalaman penumpang secara keseluruhan, malah mengatasi Boeing dan Airbus,” katanya.
Menurut media, C919 dihasilkan di China tetapi menggunakan komponen dari beberapa negara termasuk AS.
Laluan Air China itu menghubungkan Beijing dan Ulaanbaatar dengan satu penerbangan pergi balik setiap hari, lapor agensi berita Xinhua pada Julai.
C919 melengkapkan penerbangan komersial pertamanya pada Mei 2023 menerusi laluan dari hab kewangan China, Shanghai ke Beijing.
Sejak itu, pesawat berkenaan digunakan secara berkala untuk laluan komersial domestik serta antara tanah besar China dan Hong Kong.
COMAC turut menghantar C919 untuk dipamerkan di pertunjukan udara Singapura pada 2024 dan 2026 serta pertunjukan udara Dubai pada 2025, selain sudah memasuki pasaran luar negara menerusi pesawat C909 yang lebih kecil dengan kapasiti 78 hingga 97 penumpang.
© New Straits Times Press (M) Bhd
