Qatar, Maghribi antara enam negara Arab sokong Infantino

Riyadh: Enam presiden persatuan bola sepak kebangsaan Arab termasuk Qatar dan Maghribi yang menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2030, menyatakan sokongan kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino, hari ini ketika badan induk bola sepak dunia itu dilanda krisis susulan kegagalan rancangan pelaburan swasta.

Infantino yang akan bertanding mempertahankan jawatan itu tahun depan, berdepan tentangan terbuka selepas tiga konfederasi UEFA, AFC dan CONCACAF mengkritik tindakannya serta mendesak beliau berundur susulan rancangan membawa pelaburan swasta ke dalam pertandingan FIFA, termasuk Piala Dunia.

Pentadbir dari Switzerland itu sebelum ini mencadangkan hak komersial Piala Dunia diasingkan dan 20 peratus daripadanya dijual kepada pelabur swasta bagi mengumpul kira-kira AS$4.2 bilion. Bagaimanapun, beliau menarik balik cadangan itu selepas mendapat kecaman hebat.

“Dengan mengiktiraf peranan penting bola sepak Arab dalam menyatukan masyarakat serta memperkukuh kerjasama antara persatuan bola sepak di seluruh dunia Arab, kami menyatakan sokongan penuh kepada Encik Gianni Infantino, Presiden FIFA, dan menegaskan kembali keyakinan kami terhadap kepimpinannya serta komitmen berterusan beliau terhadap pembangunan bola sepak dunia,” kata enam presiden persatuan itu dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Persatuan Bola Sepak Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, selain Hany Abo Rida, Presiden Persatuan Bola Sepak Mesir, serta ketua persatuan bola sepak Lubnan, Maghribi, Sudan dan Mauritania.

Empat daripada enam penandatangan — Al Thani, Abo Rida, Fouzi Lekjaa dari Maghribi dan Presiden Bola Sepak Mauritania, Ahmed Yahya turut menganggotai Majlis FIFA.

“Kami amat menghargai usaha berterusan Encik Infantino dalam memajukan bola sepak di seluruh dunia, memperluaskan peluang di semua rantau dan memperkukuh peranan bola sepak dalam menyatukan masyarakat serta komuniti,” kata mereka.

“Kami berharap dapat meneruskan kerjasama erat dengannya ke arah masa depan bola sepak dunia yang lebih kukuh dan makmur, memperluaskan peluang serta meningkatkan lagi sumbangan bola sepak Arab kepada arena global.”

Sebahagian persatuan terbabit merupakan anggota Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), yang sebelum ini menyatakan kekecewaan terhadap rancangan Infantino dan dilihat berpotensi menyokong pendirian UEFA yang mengecam cadangan tersebut.

Ireland pula menyertai senarai negara yang semakin bertambah yang menarik balik sokongan terhadap Infantino.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top