nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sharifah Nazlinda Ellyana Syed Mohd Azhar, 31, diuji dengan dua daripada tiga anak menghidap kanser mata sepertinya, namun dia tetap cekal berjuang demi kesembuhan insan tersayang.
Berkongsi kisahnya, Sharifah Nazlinda berkata, dia disahkan menghidap kanser mata pada 1997 ketika berusia dua tahun dan sembuh semasa berusia tujuh tahun dengan mata kanannya dibuang.
“Perkahwinan saya dan suami, Muhammad Nadzmi Azizul, 32, pada Disember 2017 dan dikurniakan tiga cahaya mata berusia antara tujuh hingga dua tahun.
“Anak kedua, Naila Arisha berusia empat tahun disahkan menghidap kanser mata pada November 2022 ketika berusia enam bulan, manakala anak bongsu, Muhammad Nuh Ariz berusia dua tahun pula disahkan kanser sama pada Mei 2024 ketika berusia tiga hari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sharifah Nazlinda yang juga suri rumah berkata, dia dan suaminya amat sedih apabila mengetahui Naila Arisha menghidap kanser itu.
“Kami tidak bersedia secara mental mengetahui keputusan itu meskipun doktor sudah maklumkan bahawa setiap anak saya boleh mendapat kanser secara genetik seperti saya.
“Ini kerana anak sulung sudah menjalani pemeriksaan dan didapati tidak mempunyai sebarang tanda menghidap kanser. Disebabkan itu, kami tidak jangka anak kedua menghidap kanser,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia menjadi lebih bersedia dengan segala kemungkinan apabila hamil anak ketiga, Muhammad Nuh Ariz.
“Sepanjang kehamilan anak ketiga, setiap masa saya berdoa supaya dia dijauhi sebarang penyakit termasuk kanser.
“Namun, perancangan Allah SWT lain. Ketika Muhammad Nuh Ariz berusia tiga hari, doktor mengesahkan ada sel kanser dalam matanya,” katanya.
Menurutnya, Naila sudah selesai empat kitaran kemoterapi pada 2023 tetapi doktor mencadangkan supaya rawatan itu disambung semula rawatan bagi menyelamatkan matanya.
“Muhammad Nuh Ariz pula sudah selesai menjalani lapan kitaran kemoterapi pada 2025 dan perlu melakukan pemeriksaan mata di bawah bius penuh setiap empat bulan.
“Orang selalu kata saya kuat. Hakikatnya, saya juga manusia yang ada rasa lemah. Bezanya, saya tidak mempunyai pilihan selain terus bangkit,” katanya.
Katanya, keadaan dirinya yang mempunyai dua anak sedang berjuang melawan kanser dijadikan sebagai kekuatan kepada mereka meskipun diri sendiri juga melawan rasa takut.
“Selagi mereka tidak menyerah, saya juga tidak akan menyerah. Jadi, bagi sesiapa yang menjaga ahli keluarga menghidap kanser, ketahuilah bahawa anda juga sedang melalui satu perjuangan amat besar.
“Setiap hari mungkin tidak mudah kerana ada rasa penat, sedih dan risau yang datang silih berganti. Namun setiap usaha, kehadiran dan kasih sayang diberikan sangat bermakna untuk mereka yang sedang berjuang.
“Teruskan melangkah walaupun perlahan. Tidak mengapa untuk berehat seketika dan apa yang penting adalah tidak berputus asa,” katanya.
Dia berharap supaya anak-anaknya dapat bebas sepenuhnya daripada kanser supaya mereka boleh membesar, belajar serta bermain seperti rakan sebaya yang lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd

