am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hukuman rotan di sekolah tidak pernah dimansuhkan dan masih dibenarkan terhadap murid lelaki bagi kesalahan tertentu, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, pelaksanaan hukuman itu bagaimanapun tertakluk kepada tatacara ditetapkan dan hanya boleh dilaksanakan oleh guru besar, pengetua atau guru yang diberikan kuasa secara nyata oleh pihak berkenaan.
“Satu lagi perkara yang berulang kali dibangkitkan supaya hukuman rotan dikembalikan.
“Jadi saya mahu jelaskan, hukuman rotan di sekolah tidak pernah dimansuhkan.
“(Namun) Hukuman tidak boleh dilakukan sesuka hati, tidak boleh dilakukan kerana marah dan tidak boleh sehingga mendatangkan kecederaan.
“Setiap hukuman perlu mempunyai asas yang jelas dan direkodkan mengikut ketetapan yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan perkembangan kes kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya di Parlimen, hari ini.
Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memperincikan tatacara berkaitan pelaksanaan hukuman rotan supaya pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat memahami dengan jelas perkara yang dibenarkan dan tidak dibenarkan.
“KPM, dari semasa ke semasa kita akan memperincikan semua tata cara ini supaya sekolah, ibu bapa dan masyarakat memahami dengan jelas apa yang dibenarkan dan apa yang tidak dibenarkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




