Trauma Objek Tumpul Di Kepala Punca Irene Sofiya Maut, Polis Jamin Tiada ‘Cover-Up’

Trauma Objek Tumpul Di Kepala Punca Irene Sofiya Maut, Polis Jamin Tiada ‘Cover-Up’

Kecederaan trauma akibat objek tumpul di bahagian kepala disahkan menjadi punca kematian Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, Jumaat lalu.

Perkara itu disahkan hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Forensik di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan.

Beliau turut memberi jaminan siasatan dilakukan secara telus dan tiada sebarang usaha untuk menyembunyikan fakta atau melindungi mana-mana pihak.

“PDRM turut memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen ‘cover-up’ atau melindungi mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut M Kumar, siasatan setakat ini berjalan lancar dengan kerjasama penuh diberikan pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan.

Polis sebelum ini menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun pada 3 Oktober lalu, iaitu hari kejadian.

“Suspek kini dikenakan perintah reman selama enam hari bermula 4 hingga 9 Oktober ini selepas permohonan reman terhadapnya dibenarkan oleh majistret.

“Kes berkenaan sedang disiasat secara terperinci oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.

Dalam pada itu, polis mengingatkan orang ramai supaya menjaga sensitiviti serta menghentikan penyebaran maklumat palsu berhubung kes berkenaan.

“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau memberi sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Irene Sofiya dilaporkan berada di sekolah berkenaan untuk mengikuti kelas tambahan sebelum kehilangannya disedari apabila dia tidak pulang seperti biasa.

Pencarian dilakukan selepas rakan-rakannya mendapati motosikal Irene Sofiya masih berada di kawasan sekolah sebelum remaja itu ditemukan dalam keadaan lemah dan berlumuran darah di dalam dewan.

Irene Sofiya yang merupakan pelajar Tingkatan Empat kemudian disahkan meninggal dunia, manakala kes berkenaan kini disiasat sebagai kes bunuh.


Scroll to Top