Op Kandang Bersepadu: PGA gempur gelanggang sabung ayam, rampasan bernilai RM9.6 juta

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Kegiatan laga ayam dan perjudian haram di lapan daerah di Sabah digempur Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Kandang Bersepadu yang menyaksikan rampasan serta sitaan keseluruhan bernilai lebih RM9.6 juta.

Operasi selama 10 jam bermula 8 pagi hingga 6 petang, semalam membabitkan 14 serbuan di Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu dan Kota Marudu.

Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nor Omar Sappi berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan bagi membanteras aktiviti perlagaan ayam sabung, perjudian haram serta kegiatan lain yang menyalahi undang-undang.

Katanya, seramai 128 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi berkenaan termasuk 86 daripada PGA Briged Sabah.

“Operasi turut disertai empat pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 22 pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), 14 pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dua pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

“Hasil 14 serbuan yang dijalankan, seramai 16 lelaki berusia antara 31 hingga 70 tahun ditahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tangkapan membabitkan 13 warga tempatan dan tiga warga asing, manakala semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Nor Omar berkata, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan daripada operasi itu dianggarkan RM9.602 juta.

“Bahagian terbesar rampasan membabitkan ayam sabung bernilai RM8.935 juta, diikuti pelbagai peralatan bernilai RM650,470.

“Turut dirampas musang bernilai RM4,000, duri landak bernilai RM11,540 serta sisik tenggiling bernilai RM500,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan yang dikenal pasti disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan Sabah 2015, Seksyen 21(1)(i) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 41(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Selain itu, menurutnya tindakan turut diambil mengikut undang-undang kecil berkaitan pelesenan penggunaan premis bagi perdagangan, perniagaan, industri dan profesion.

Katanya, semua tangkapan serta rampasan sudah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top