am@hmetro.com.my
Tanah Merah : Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) membuat serbuan terhadap stor kayu di Kampung Bukit Kechik di sini, kerana disyaki memiliki dan memproses kayu tanpa cukai yang sah.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, stor kayu yang dimiliki seorang lelaki tempatan itu sudah beroperasi sejak 15 tahun lalu.
“Serbuan dibuat jam 11.30 pagi tadi dan mendapati empat lelaki tempatan sedang bekerja termasuk pemilik premis yang berusia 60 tahun.
“Pasukan kami minta lesen kebenaran pengoperasian stor dan surat berkenaan kayu yang dikeluarkan oleh Pihak Jabatan Perhutanan sebelum pemilik premis mengemukakan lesen pengoperasian.
“Bagaimanapun setelah diperiksa, pemiliknya gagal mengemukakan cukai pemilikan kayu dan pihak Jabatan Perhutanan Jajahan Kelantan segera dihubungi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ahmad Radzi berkata, empat mesin yang digunakan untuk pengoperasian serta 4,114 batang kayu dianggarkan bernilai RM602,100 dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 68 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
Hasil siasatan awal Ahmad Radzi berkata, pemilik stor kayu itu mengaku mendapatkan bekalan kayu daripada pekebun di sekitar Tanah Merah dan sudah berurusan lebih kurang 10 tahun.
“Stor kayu terbabit sudah beroperasi selama 15 tahun dan dijadikan tempat untuk memproses kayu dengan menggaji tiga pekerja warga tempatan dan kayu yang siap diproses akan di hantar ke kilang kayu di Kuantan, Pahang dan di Muar, Johor.
“Pemiliknya menyewa tapak kilang yang di serbu daripada seorang wanita sejak 15 tahun lalu dengan kadar sewa RM1,000 sebulan.
“Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Hutan Negeri Kelantan untuk proses sitaan dan jumlah saman atau kompaun akan diperoleh setelah selesai proses dokumentasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
