George Town: Seorang wanita meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika memandu kenderaan pelbagai guna (MPV), sebelum merempuh dua motosikal yang diparkir di tepi Jalan Macalister di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata dalam kemalangan yang berlaku di hadapan sebuah restoran itu, mangsa warga tempatan berusia 36 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Polis mengesahkan kemalangan itu hanya membabitkan pemandu MPV berkenaan manakala dua motosikal yang terlibat dalam kemalangan dan dilihat dalam video tular sebenarnya tidak mempunyai penunggang serta berada dalam keadaan diparkir di tepi restoran.
“Mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HPP dan dipercayai mengalami serangan jantung ketika kemalangan. Bedah siasat akan dijalankan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 1 minit 52 saat memaparkan kejadian sebuah kereta merempuh dua buah motosikal di hadapan sebuah restoran yang dipercayai berlaku kira-kira 2 petang hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
