am@hmetro.com.my
Seremban: Peniaga barang perhiasan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjual bingkai perhiasan tulisan ayat al-Quran yang tidak mengikut kaedah betul, dua tahun lalu.
Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu kepada Sajad Rahmat, 63, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dalam kawalannya bagi maksud penjualan sebanyak 17 bingkai ayat al-Quran yang tidak mengikut kaedah penulisan yang ditentukan lembaga berkenaan dengan ayat al-Quran yang terkandung di dalam bahan al-Quran.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 11 pagi di sebuah premis beralamat di Jalan Nilai 3/11, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 27 Mac 2024.
Justeru itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Teks Al- Quran 1986 (pindaan 2023) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 (2) akta yang sama.
Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua- duanya.
Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ariff Hussein memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bergantung kepada budi bicara.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ardelliza Izmaryanti Shafie memaklumkan, tertuduh seorang peniaga yang menanggung isteri dan tiga anak.
Justeru, dia memohon hukuman denda yang minimum dengan alasan pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa mahkamah dan pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara selama empat bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
