Anthony Loke cabar ECRL mula operasi Disember ini

lokman.khairi@hmetro.com.my

Gombak: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mencabar Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk memulakan operasi awal Disember ini berbanding sasaran awal Januari tahun hadapan.

Cabaran itu disampaikan Anthony kepada Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd dan kontraktor utama projek, China Communications Construction Company Limited (CCCC).

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan bersedia memudah cara beberapa proses kelulusan dan pengujian, khususnya Fault-Free Run (FFR), bagi membolehkan operasi ECRL dimulakan lebih awal tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

“Bersempena dengan peluncuran Tren Pemeriksaan Komprehensif (CIT), Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan FFR hari ini, Kementerian Pengangkutan sedang membuat perbincangan untuk melihat bagaimana kita boleh memudahkan lagi beberapa proses kelulusan dan pengujian.

“Khususnya bagi ujian FFR yang selama ini agak terperinci, kita akan cuba permudahkan kerana kita yakin semua tren ini sudah melalui banyak ujian yang dan komprehensif di China sebelum dihantar ke Malaysia,” katanya pada sidang media sempena Majlis Peluncuran CIT serta Pelancaran SIT dan FFR di Stesen ECRL Gombak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian juga akan bekerjasama rapat dengan MRL bagi memudah cara proses pentauliahan dan kelulusan akhir oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Katanya, beliau mencadangkan supaya operasi ECRL dimulakan pada awal Disember bersempena cuti hujung tahun bagi memberi peluang kepada pelajar dan warga Pantai Timur menikmati kemudahan pengangkutan berkenaan.

“Jadi, sekiranya proses ini dapat dipermudahkan, saya ingin melontarkan satu cabaran kepada pihak MRL dan CCCC.

“Kita ingin meletakkan satu cabaran iaitu perkhidmatan ECRL ini dibuka lebih awal daripada yang dijadualkan.

“Saya harap kita dapat memberikan kemudahan dan pemudah cara untuk memastikan segala proses itu dapat diringkaskan serta dipermudahkan tanpa berkompromi aspek keselamatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top