Langkah proaktif bantu kekal momentum pertumbuhan KDNK Malaysia ketika konflik Asia Barat – PM

Kuala Lumpur: Langkah proaktif kerajaan terhadap krisis Asia Barat termasuk menyediakan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas serta mengekalkan subsidi bahan api secara bersasar membantu mengekalkan perbelanjaan isi rumah dan merancakkan kegiatan perniagaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah ini juga mempertahankan momentum pertumbuhan pada suku kedua 2026.

“Reformasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta langkah proaktif kerajaan telah membantu mengurangkan kesan gangguan bekalan global terhadap rakyat di samping menyokong penggunaan dan pertumbuhan ekonomi,” kata Anwar dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun gangguan rantaian bekalan telah meningkatkan tekanan harga di seluruh dunia, inflasi Malaysia kekal terkawal pada 1.9 peratus pada suku kedua 2026.

“Pada masa yang sama, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah serta subsidi bersasar menerusi BUDI MADANI terus disalurkan bagi mengurangkan beban rakyat, khususnya golongan yang paling terkesan kerana kenaikan kos sara hidup,” kata Perdana Menteri.

Anwar juga menekankan bahawa momentum pertumbuhan Malaysia kekal berdaya tahan, namun Kerajaan MADANI sentiasa menyedari bahawa limpahan manfaat daripada pertumbuhan ekonomi ini tidak dirasai secara sama rata oleh semua isi rumah dan perniagaan.

“Malaysia tidak terkecuali daripada kesan pergolakan ekonomi dunia.

“Sungguhpun kita menyambut baik angka pertumbuhan yang memberangsangkan, kita tidak boleh alpa bahawa masih ramai rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup manakala sebahagian pekerja dan perniagaan berdepan keadaan yang sukar,” kata beliau.

Menurut Perdana Menteri, Kerajaan MADANI sentiasa menyedari bahawa limpahan manfaat daripada pertumbuhan ekonomi ini tidak dirasai secara sama rata oleh semua isi rumah dan perniagaan.

“Ketidaktentuan geopolitik yang berterusan, gangguan rantaian bekalan global, peningkatan harga input dan makanan serta tekanan pekerjaan dalam sektor tertentu terus menjadi risiko utama kepada kesejahteraan isi rumah dan aktiviti perniagaan,” kata beliau.

Menurut MOF dalam kenyataan yang sama, meskipun mendepani kejutan bekalan global yang telah menjejaskan ekonomi dunia, Malaysia terus mencatat prestasi luar jangka bagi tiga suku berturut-turut dan berkembang sebanyak enam peratus pada suku kedua 2026 berbanding 5.4 peratus direkodkan pada suku sebelumnya.

Kementerian memaklumkan permintaan domestik yang berdaya tahan dan sektor luar negeri yang rancak memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk melepasi anggaran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran median Bloomberg sebanyak 5.8 peratus.

Menurutnya prestasi ini merupakan yang paling kukuh bagi suku kedua di luar tempoh pandemik sejak 2014.

MOF memaklumkan pencapaian suku kedua 2026 telah menjadikan pertumbuhan separuh pertama 2026 sebanyak 5.7 peratus sekali gus meletakkan ekonomi Malaysia pada landasan yang kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan oleh kerajaan iaitu antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top