AMK akui akar umbi PKR belum cukup kuat

MELAKA: Kekuatan akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini masih belum cukup kukuh untuk diterjemahkan kepada kemenangan dalam pilihan raya, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Johor dan Negeri Sembilan yang menjadi isyarat jelas daripada rakyat terhadap prestasi serta pendekatan politik parti.

Menurutnya, pilihan raya bukan sekadar medan merebut kemenangan, sebaliknya menjadi ukuran sejauh mana sokongan rakyat terhadap perjuangan PKR dan keberkesanan pendekatan yang digunakan.

“Hendak yakinkan rakyat ini kena bermula dari bawah. Popular saja tak cukup. Setelah kita lalui PRN Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, ada satu hal yang saya rasa semua orang setuju bahawa kekuatan kita di akar umbi itu belum cukup kuat untuk kita menterjemah dalam bentuk kemenangan,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini semalam.

Sehubungan itu, Muhammad Kamil menyeru anggota parti supaya tidak berputus asa, sebaliknya menerima keputusan berkenaan sebagai teguran rakyat untuk memperkemas semula gerak kerja parti.

Katanya, PKR perlu kembali bercakap bagi pihak rakyat selain menilai semula pendekatan dan strategi politik bagi membentuk naratif yang lebih ampuh serta mampu meyakinkan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejarah perjuangan PKR membuktikan parti tersebut pernah berada pada titik terendah sebelum bangkit mencetuskan perubahan besar dalam landskap politik negara.

“Perjalanan kita bermula pada 1998 dan kita pernah berada pada titik terendah pada 2004. Namun, 10 tahun selepas 1998, kita berjaya mencipta gelombang baharu pada 2008,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen pada 2008 kemudian disusuli perubahan kerajaan menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Muhammad Kamil berkata, cabaran meneruskan agenda reformasi ketika berada dalam dan luar kerajaan adalah berbeza, justeru PKR perlu melakukan muhasabah serta menyesuaikan strategi politik. – UTUSAN

Scroll to Top