STR Fasa 3 disalur kepada 5.3 juta penerima mulai hari ini

PUTRAJAYA – Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 disalurkan secara berperingkat bermula hari ini kepada 5.3 juta penerima dengan peningkatan sebanyak 300,000 individu berbanding lima juta pada awal tahun.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, Kerajaan Madani memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion bagi pembayaran STR Fasa 3.

Menurut kementerian itu, seramai 3.9 juta dari 5.3 juta penerima merupakan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah, manakala selebihnya warga emas tiada pasangan.

“Bagi Fasa 3, penerima bakal menerima antara RM150 hingga RM600, bergantung kepada pendapatan dan bilangan anak manakala warga emas tiada pasangan RM150.

“Jumlah keseluruhan STR yang disalurkan bagi tiga fasa tahun ini mencecah RM3.6 bilion. Ini bergantung kepada kategori kelayakan, penerima boleh menerima bantuan sehingga RM3,300 secara terkumpul setakat Ogos 2026 melalui STR Fasa 1 hingga Fasa 3 serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan,” katanya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, kata MoF, jumlah itu tidak termasuk pemberian ‘one-off’ SARA untuk Semua kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.

Jelasnya lagi, bantuan kepada rakyat distrukturkan sokongan diterima secara lebih teratur sepanjang tahun mulai 2026.

“STR disalurkan secara suku tahunan, manakala SARA menyediakan bantuan asas secara bulanan kepada penerima yang layak.

“Dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi cabaran buat sebahagian rakyat, kerajaan akan terus memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Sebab itulah jumlah isi rumah yang menerima STR meningkat dari 3.7 juta pada awal tahun kepada 3.9 juta bagi Fasa 3,” katanya.

MoF berpendapat, penstrukturan semula kewangan kerajaan dan penambahbaikan tatakelola membolehkan lebih banyak hasil negara disalurkan kepada rakyat yang memerlukan.

“Peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi 2026 berjumlah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan malah hampir tiga kali ganda pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016.

Sementara itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, STR dan SARA membantu meringankan keperluan rakyat hari ini di samping kerajaan terus melaksanakan reformasi serta memperkukuh ekonomi bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup.

“Matlamat kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi memastikan satu kehidupan rakyat bertambah baik,” ujar beliau.

Penerima STR yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran Fasa 3 melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing.

Individu yang tidak mempunyai akaun bank pula boleh mendapatkan bayaran secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.

Bagi mengurangkan risiko keciciran, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi STR di bantuantunai.hasil.gov.my.

Scroll to Top