AYER KEROH – Prestasi ekonomi Malaysia yang baik belum memberi kesan secara menyeluruh kepada rakyat apabila masih ramai tidak merasai limpahan daripada pertumbuhan ekonomi negara.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perkara itu antara isu yang perlu diberi perhatian serius oleh parti dan kerajaan bagi memastikan dasar serta polisi yang dilaksanakan benar-benar dirasai rakyat.
Beliau berkata, berdasarkan beberapa indikator utama termasuk pertumbuhan ekonomi, inflasi, kadar pengangguran dan pengukuhan nilai ringgit, Malaysia berada pada tahap baik berbanding negara lain.
“Pertumbuhan ekonomi enam peratus contohnya, ini mengatasi semua ramalan dan konsensus.
“Namun pada masa sama, rakyat menyuarakan kerisauan apabila angka makro yang besar ini tidak dapat dirasai semua,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kongres Nasional PKR 2026 di MITC pada Sabtu.
Tengku Zafrul berkata, keadaan berkenaan bukan hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya merupakan fenomena ekonomi global apabila limpahan pertumbuhan ekonomi tidak dinikmati secara sama rata.
Katanya, kerajaan perlu menilai semula sebahagian polisi yang telah diumumkan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dirasai semua golongan.
“Yang kedua ialah dari segi komunikasi. Kita perlu mendengar dan memberi maklumat yang tepat kepada rakyat.
“Kita dapat lihat dalam pilihan raya negeri sebelum ini di Negeri Sembilan dan Johor, ramai yang menyuarakan mereka tidak mendapat atau tidak mengetahui mengenai sebahagian bantuan yang telah diumumkan.
“Jadi dari segi komunikasi, saya rasa kita ada ruang untuk penambahbaikan,” katanya.
Tambah Tengku Zafrul, aspek ketiga yang perlu diberi perhatian ialah kekuatan parti termasuk memastikan jentera PKR lebih kukuh bagi membantu penyampaian maklumat dan bantuan kepada rakyat.
Beliau berkata, parti tidak seharusnya mudah menyalahkan parti komponen atau parti lain dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya sokongan rakyat tidak seperti diharapkan.
“Pada saya, kita kena lihat diri sendiri. Kita kena ‘look in the mirror’. Kita sendiri kena membetulkan apa yang perlu diperbaiki dalam parti sendiri.
“Itulah tiga isu yang perlu kita beri perhatian,” katanya.