Sultan Nazrin berangkat ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara

Ipoh: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara Sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat Perak 2026 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini malam ini.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Khas Pencapaian Terbaik Pejabat Pendidikan Daerah kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara yang menerima wang tunai RM20,000.

Baginda turut menyampaikan hadiah juara Pertandingan Pidato Bahasa Melayu sekolah menengah atas kepada Ifwat Arrafi Mohd Amin daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abd Razak, Bagan Datuk manakala E Johnnes Abysia daripada SMK Sungai Pari, Kinta Utara memenangi pertandingan pidato Bahasa Inggeris.

Sultan Perak turut berkenan menyampaikan hadiah bagi pertandingan bicara berirama, sebutan korus, koir dan melukis karikatur bagi peringkat sekolah rendah, menengah rendah serta menengah atas.

Tuanku Zara pula berkenan menyampaikan hadiah kategori pertandingan menulis esei, mengarang sajak dan melukis poster bagi kategori sama sebelum baginda berdua kemudian melawat pameran lukisan dan karikatur.

Terdahulu, Pengarah Pendidikan Perak Zulkafli Mohamed Mokhtar dalam sembah ucapannya berkata pada tahun ini program itu mencatatkan penyertaan yang amat membanggakan dengan 214,095 penyertaan melibatkan 83.6 peratus murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di seluruh negeri itu.

Beliau berkata perkembangan itu memperlihatkan program berkenaan bukan sahaja mendapat sambutan amat menggalakkan, tetapi juga terus berkembang sebagai satu daripada wadah penting dalam mencungkil bakat, membina keyakinan diri serta memperkasakan potensi murid dalam pelbagai bidang dipertandingkan.

“Peningkatan penyertaan sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya turut membuktikan bahawa program ini semakin mendapat tempat dan terus menjadi platform yang signifikan.

“Sudah tentu program ini memberi impak yang cukup besar bukan sekadar fizikal tetapi tentang pemikiran, nilai dan masa depan generasi seiring dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035,” katanya.

Beliau berkata usaha itu selaras dengan aspirasi pendidikan untuk membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik malah berakhlak mulia, berfikiran kritis, berjiwa patriotik, menghargai sejarah dan warisan negara serta berupaya menjadi pemimpin yang berwibawa pada masa hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top