am@hmetro.com.my
Sabak Bernam: “Saya terkilan kerana tidak berjumpa dengan isteri disebabkan kerja sebelah malam selama dua hari,” kata Basar Maslan.
Suami kepada kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabak Bernam, Selaton Nuri, 55, yang meninggal dunia selepas tudungnya terbelit pada penggelek pintu kunci air (gate roller) dalam kejadian berdekatan sebuah hotel, di sini, petang semalam.
Basar, 63, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di rumah sebekum terima panggilan daripada menantunya dan memaklumkan kejadian pilu itu.
Menurutnya, menantu minta dia pergi ke lokasi untuk melihat keadaan Selaton.
“Dalam keadaan mamai dan kaki kebas, saya gagahkan juga ke lokasi kejadian dengan memandu kereta.
“Sebaik tiba, saya naik ke kunci air dan melihat isteri sudah ‘tiada’. Tiada apa yang boleh dilakukan kecuali menunggu polis dan ambulans sampai,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, malam tadi.
Bapa kepada enam anak berusia 23 hingga 36 tahun itu memaklumkan, ketika kejadian isterinya bertugas menutup pintu air susulan berlaku keadaan air pasang sambil ditemani anak kedua mereka.
“Pagi semalam apabila saya balik kerja, saya telefon dan tanya arwah di mana. Dia beritahu minum dengan anak sambil memaklumkan hendak ke pasar, melawat orang dan akhir sekali ke kunci air itu.
“Saya beberapa kali menghubungi arwah namun gagal. Tak sangka umurnya tidak panjang dan Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya.
Basar berkata, isterinya yang sudah berkhidmat 21 tahun sebagai penjaga kunci air ada menyatakan hasrat untuk menunaikan ibadah haji dan hanya menunggu panggilan sahaja.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan…memang tak ada langsung. Seperti biasa… apabila saya telefon, dia angkat (jawab).
“Arwah seorang yang baik, pemurah dan suka membantu. Dia tidak boleh tengok orang susah.
“Sebelum itu, dia bercadang untuk membuat kursus pembuatan roti di kilangnya di Parit 9, Sungai Besar. Hanya tinggal untuk diusahakan sahaja namun tidak kesampaian,” katanya.
Menurut Basar, jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Terap hari ini selepas proses bedah siasat yang dilakukan pada 9 pagi hari ini selesai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, polis terima laporan berhubung kejadian pada 4 petang dan kes itu
diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
© New Straits Times Press (M) Bhd

