‘Naik darah baca’ – Syed Saddiq dedah 7 pelaburan TH rugi 100 peratus

SHAH ALAM – “Baru dapat jawapan bertulis dari menteri berkenaan tujuh pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) yang rugi 100 peratus. Paling teruk pelaburan Al-Rawda Real Estates (Al-Rawda). Kalau baca, memang naik darah.”

Demikian reaksi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas menerima jawapan bertulis di Dewan Rakyat berhubung tujuh pelaburan TH yang mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM2.581 bilion berdasarkan nilai pelaburan yang telah dirosotkan 100 peratus.

Pelaburan dalam Al-Rawda mencatat kerugian paling besar iaitu sebanyak RM1.864 bilion selain sejumlah wang besar juga didapati dibayar kepada syarikat itu sebagai pendahuluan atau ‘upfront’.

Syed Saddiq berkata, lebih RM1.5 bilion didakwa dibayar secara pendahuluan kepada Al-Rawda sebagai pihak perantara atau ‘orang tengah’ dalam pelaburan berkenaan.

“Tiada jaminan bank. Due diligence (penilaian wajar) hancur. Perlindungan TH cuma nota janji yang dijamin secara peribadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Semasa penggulungan perbahasan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkait TH di Sidang Khas Dewan Rakyat pada Selasa lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah dibuat TH mengalami kerugian 100 peratus.

Beliau memberitahu, TH juga terpaksa menanggung kerugian dianggarkan hampir RM13 bilion disebabkan 14 pelaburan bermasalah itu ekoran salah laku kewangan dan pelaburan yang menjadi punca utama.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut mempersoalkan manfaat pelaburan berkenaan kepada jemaah haji apabila kemudahan penginapan yang dirancang didakwa tidak diterima seperti sepatutnya.

Menurut beliau, kutipan sewa daripada pelaburan tersebut juga terhenti selama bertahun-tahun.

“Manfaat penginapan untuk jemaah pula tidak diterima seperti dirancang. Kutipan sewa terhenti bertahun-tahun.

“Berbilion ringgit telah dibayar, namun tiada hasil yang dapat ditunjukkan. Pelik bin ajaib,” ujar Syed Saddiq lagi.

Jawapan bertulis itu turut menyenaraikan enam lagi pelaburan yang mengalami kerugian 100 peratus iaitu Trurich Resources Sdn Bhd (RM364.31 juta), Putrajaya Perdana Berhad (RM193.49 juta), Al-Fareeda Residential Fund (RM82 juta), Abraj Sdn Bhd (RM40.23 juta), Emrail Sdn Bhd (RM19.30 juta) dan Wellspring Worldwide Ltd (RM18 juta).

 

 

Scroll to Top