Keselamatan penunggang motosikal diperkasa, 1,000 pencarum PERKESO terima MYRIDERID percuma

Keselamatan penunggang motosikal diperkasa, 1,000 pencarum PERKESO terima MYRIDERID percuma

BATU KAWAN – Seramai 1,000 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerima MYRIDERID, iaitu sistem pengenalan kecemasan digital berasaskan imbasan kod respons pantas (QR) secara percuma sempena pelancarannya di Stadium Negeri Pulau Pinang di sini pada Ahad.

PERKESO memaklumkan, sistem itu merupakan salah satu inisiatif memperkukuh perlindungan dan keselamatan penunggang motosikal di negara ini menerusi Kempen Penunggang Malaysia (MYRider).

Katanya, MYRIDERID berfungsi sebagai identiti kecemasan digital yang menyimpan maklumat penting penunggang seperti kontak kecemasan dan maklumat kesihatan yang boleh diakses melalui imbasan kod QR ketika berlaku kemalangan atau kecemasan.

“Bertepatan dengan slogan ‘Maklumat Tepat, Nyawa Selamat’, MYRIDERID memanfaatkan teknologi kod QR bagi membolehkan maklumat penting penunggang diakses dengan pantas sekiranya berlaku kemalangan sekali gus menyokong pengurusan kecemasan yang lebih cekap dan efektif.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada pendekatan keselamatan jalan raya yang komprehensif, merangkumi aspek pencegahan, perlindungan dan respons pasca kemalangan,” ujar PERKESO dalam satu kenyataan.

PERKESO menjelaskan, langkah tersebut diambil rentetan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan penunggang motosikal terus kekal sebagai pengguna jalan raya paling berisiko.

Keselamatan penunggang motosikal diperkasa, 1,000 pencarum PERKESO terima MYRIDERID percuma

Penunggang motosikal gembira menerima MYRIDERID secara percuma sempena majlis pelancarannya di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada Ahad.

Menurutnya, golongan terbabit merangkumi 65 peratus daripada 6,581 kes kematian keseluruhan yang direkodkan sepanjang tahun 2025.

Sehubungan itu, inovasi daripada MYRIDERID berkenaan mampu menyelamatkan nyawa dengan memastikan maklumat penting penunggang dapat diakses pada saat paling kritikal.

Ia sekali gus menzahirkan komitmen berterusan PERKESO dalam meneroka pendekatan inovatif yang memberi nilai tambah kepada perlindungan sosial dan kesejahteraan masyarakat khususnya komuniti penunggang motosikal.

Sementara itu, dalam majlis sama, PERKESO turut mengadakan pertukaran Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama Boon Siew Honda Sdn Bhd dan MForce Bike Holdings Sdn Bhd bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam mempromosikan keselamatan motosikal.

Kolaborasi itu akan memberi tumpuan kepada program advokasi, pendidikan dan pembudayaan keselamatan jalan raya yang menyokong aspirasi melahirkan penunggang Malaysia yang selamat, berhemah dan bermaruah.

Program pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Perubatan, Pencegahan dan Pemulihan PERKESO, Dr Azlan Darus; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Kunitomo Asano serta Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings, Asri Ahmad.

 

 

Scroll to Top