Batu Pahat: Umat Islam dinasihatkan sentiasa menjaga adab dan akhlak serta menjauhi perbuatan tidak bermoral lebih-lebih lagi di rumah ibadat seperti masjid dan surau.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, masjid dan surau merupakan tempat suci yang perlu dihormati serta dipelihara kesuciannya.
“Ingatlah, apa yang kita lakukan itu, walaupun apa pun, akan dilihat oleh Allah SWT. Kita tak dapat lari. Semua kesalahan, apa yang kita lakukan akan dihisab oleh Allah SWT.
“Jadi kepada semua, jagalah adab, jagalah akhlak dan patuhilah undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Sukan Peguam Syarie (SUKPES) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, hari ini.
Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas kes seorang bekas siak dan wanita berstatus isteri orang yang dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka pada Khamis lepas kerana didakwa melakukan percubaan persetubuhan haram di bilik pengurusan jenazah sebuah masjid di Melaka.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan percubaan persetubuhan haram dengan pasangan yang bukan sah di sisi hukum syarak antara 8 pagi hingga 12 tengah hari, antara 1 hingga 30 April lalu.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, usaha memberi pencerahan, meningkatkan kesedaran serta membimbing masyarakat mengenai pematuhan syariah dan pembentukan akhlak dilaksanakan secara berterusan, merangkumi golongan muda hingga warga emas.
Beliau berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi pelbagai program di masjid dan surau selain kempen di media sosial, termasuk bagi memperkukuh institusi kekeluargaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
