Kebebasan mahasiswa perlu bimbingan

SHAH ALAM: Suatu model bimbingan perlu diwujudkan sebagai garis panduan bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sekiranya undang-undang itu benar-benar dimansuhkan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedudukan serta kebebasan mahasiswa perlu diuruskan supaya ia bersesuaian dengan amalan dan budaya di negara ini.

“Jika AUKU dimansuhkan, persoalan timbul bagaimana kedudukan mahasiswa di Malaysia akan diuruskan yang tentunya tidak sama dengan mahasiswa di Amerika Syarikat atau negara-negara lain.

“Itu yang kita perlukan, bukan pemantauan tetapi bimbingan (garis panduan) kepada mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Minum Petang Perbincangan Meja Bulat ‘Peace & Harmony’ Pas di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan tiada pindaan terhadap AUKU atau digantikan dengan undang-undang baharu yang mengongkong kegiatan mahasiswa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi menjamin kebebasan mahasiswa serta memastikan mereka tidak terus terikat dengan undang-undang khusus yang menyekat pergerakan dan kegiatan di kampus.

Beliau berkata, kebimbangan mengenai kemungkinan mahasiswa melakukan kesalahan selepas AUKU dimansuhkan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengekalkan akta berkenaan.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman memberitahu, pindaan atau mansuh perlu jelas apabila wujud kekeliruan sebelum ini berhubung pengumuman oleh Presiden PKR itu.

“Jadi, kita hendak kepastian dahulu sama ada pemansuhan atau pindaan. Kalau pindaan, perlulah dilakukan libat urus. Bukan sahaja pihak di universiti, daripada mahasiswa, bahkan semua ahli-ahli parlimen.

“Bila libat urus (dibuat), dengar pandangan barulah kita cari titik pertemuan untuk memastikan kalau pindaan, pindaanlah. Kalau pemansuhan, bagaimana kita hendak urus kedudukan mahasiswa,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top