SEREMBAN: Kelab bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) menyasarkan kedudukan lima terbaik dalam saingan Liga Super musim 2026/2027 selepas menduduki tangga ketujuh musim lalu.
Pengerusi NSFC, Datuk Ismail Lasim berkata, sasaran realistik itu dibuat selepas pasukan berkenaan melakukan beberapa perubahan membabitkan barisan pemain dan jurulatih bagi menghadapi musim baharu yang akan membuka tirai pada 21 Ogos ini.
Katanya, beliau yakin dengan semangat baharu yang dibawa pasukan sasaran berkenaan mampu direalisasikan.
“Pada tahun ini, NSFC sebagaimana kita tahu, ada membuat beberapa perubahan daripada segi pemain dan juga jurulatih baharu.
“Sasaran kami pada tahun ini ialah kelompok lima teratas. Mudah-mudahan kita boleh dapat tempat lima teratas tahun ini selepas tahun lepas kami berada di tangga ketujuh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Bola Sepak Negeri Sembilan hari ini.
Turut diadakan majlis pengenalan pasukan NSFC termasuk ketua jurulatih baharu dari Sepanyol, Daniel Gimenez Alcaniz.
Ismail dalam pada itu berkata, masih terlalu awal memberikan penilaian terhadap barisan pemain baharu memandangkan beliau baru pertama kali berkenalan dengan mereka serta belum menyaksikan sesi latihan atau aksi pasukan.
“Saya baru kenal pemain hari ini. Belum tengok mereka beraksi ataupun mereka berlatih lagi. Jadi terlalu awal untuk saya beri pandangan tentang pemain-pemain ini.
“Saya simpan komen saya dulu sebab saya belum tengok mereka berlatih,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail turut berharap penyokong bola sepak Negeri Sembilan terus memberikan sokongan padu kepada NSFC seperti yang ditunjukkan pada musim lalu.
“Saya sedikit risau sebab kita akan bermain banyak pada peringkat awal ini di sebelah petang. Kita tahu waktu petang banyak cabaran, orang ramai hendak balik kerja dan cuaca panas.
“Bagaimanapun, saya berharap penyokong Negeri Sembilan akan terus memberikan sokongan padu kepada pasukan ini,” katanya.
Ismail berkata, kekuatan kewangan serta semangat berpasukan penting bagi memastikan NSFC mampu mengekalkan pemain berkualiti dan mengelakkan konflik dalam pasukan. – UTUSAN

