Izzatul Musfirah kini bergelar ratu pecut SUKMA

sukan@hmetro.com.my

Serdang: Pelari pecut Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila muncul ratu pecut Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor selepas menukar pingat perak di Sarawak kepada emas pada edisi kali ini.

Pelari Terengganu itu mencatat masa 11.73s untuk menewaskan atlet Selangor, Lim Mei Yin yang meraih perak dengan catatan 11.96s, manakala Alvinia Aivie Jackly dari Sarawak membawa pulang gangsa selepas merekodkan 12.07s.

Izzatul Musfirah berkata, walaupun gagal memperbaiki catatan peribadi terbaik (PB), kejayaan meraih emas selepas penantian dua tahun tetap cukup bermakna.

“Alhamdulillah dengan pencapaian hari ini. Walaupun saya tidak dapat catatkan PB, saya tetap teruja kerana akhirnya dapat pingat emas dan menebus kembali keputusan edisi 2024.

“Walaupun hujan rintik-rintik, Alhamdulillah saya berjaya mendapatkan emas,” katanya.

Menurut Izzatul, perjalanan selepas SUKMA Sarawak penuh cabaran selepas dia berdepan kecederaan, namun menjadikan situasi itu sebagai pembakar motivasi.

“Selepas SUKMA 2024 saya mengalami kecederaan. Saya gunakan kecederaan itu untuk meningkatkan motivasi sehingga hari ini.

“Perjalanan ini ada jatuh bangun, pahit manis, tetapi saya gembira dengan pencapaian hari ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top