Persidangan DAP bukan nak 'tekan' PM – Loke

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Putrajaya: DAP menepis dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan Persidangan DAP hari ini bertujuan untuk ‘menekan’ Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke menegaskan perkara itu juga bukan agenda DAP.

“Kita tahu musuh politik kita kata kita nak gunakan konvensyen ini ataupun persidangan ini untuk menekan Perdana Menteri dengan agenda DAP.

“Agenda DAP adalah agenda yang dipersetujui bersama dalam Pakatan Harapan (PH) dan dipersetujui bersama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media selepas Persidangan DAP 2026 berakhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, terdapat beberapa reformasi yang dipersetujui DAP dan diharap dapat dilaksanakan dengan segera.

Ahli Parlimen Seremban itu mengambil contoh reformasi melibatkan pemisahan kuasa Peguam Negara, selain agenda mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada dua penggal.

“Ini agenda bersama. Agenda untuk melawan rasuah. Itu agenda bersama. Itu bukannya agenda DAP semata-mata.

“Ada perkara seperti untuk jangka masa pendek ini, beberapa perubahan seperti pelaksanaan e-invoicing yang juga dibawa oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.

Selain itu katanya, terdapat juga permintaan agar kerajaan menyemak kembali kuota RON95 dan diesel khususnya untuk Sabah Sarawak.

“Semua ini adalah perkara yang mendesak kehidupan rakyat dan kos sara hidup yang kita harap dapat dibincang serta laksanakan secara bersama,” katanya.

Terdahulu, DAP membuat keputusan untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Anwar sehingga tamat tempoh penggal Parlimen.

Keputusan itu selepas 1,857 perwakilan DAP yang hadir mengundi untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan, manakala 242 mengundi keluar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top